KOTA KINABALU: Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO) melalui anak syarikatnya iaitu SEDCO Mining Sdn Bhd (SMSB) telah menerima data awal migrasi TOL daripada Jabatan Tanah dan Ukur dalam Majlis Penyerahan yang telah diadakan pada 25hb Mac 2025 di hotel Hyatt Regency di sini.
Majlis ini bertujuan untuk memenuhi kehendak kabinet yang telah menyerahkan mandat kepada pihak SEDCO untuk menguruskan pasir sungai dan laut sejak tahun 2009. SMSB merupakan anak Syarikat SEDCO yang mula beroperasi pada Ogos 2023 dan ditubuhkan untuk memegang tanggungjawab mentadbir pengurusan pasir sungai dan laut di Sabah.
SEDCO Mining telah mula bergerak aktif pada tahun 2024 dan kini menjadi pihak tunggal yang bertanggungjawab dalam menguruskan konsesi pasir sungai dan laut di Sabah, sejajar
dengan mandat yang diberikan oleh Kerajaan Negeri. Langkah ini akan membawa beberapa manfaat besar kepada negeri dan industri, antaranya:
1. Peningkatan Ketelusan dalam Kutipan Hasil
• Semua transaksi dan operasi kini dikawal secara berpusat, mengurangkan risiko ketirisan dan meningkatkan hasil negeri.
2. Pengurusan Sumber Secara Mampan
• Proses perlombongan akan dikawal selia dengan lebih ketat bagi memastikan kelestarian alam sekitar dan mengurangkan kesan hakisan serta pencemaran sungai.
3. Peningkatan Kecekapan Operasi
• Penyelarasan vendor dan penggunaan sistem pemantauan moden akan menjadikan operasi lebih cekap dan berkesan.
4. Peluang Ekonomi kepada Pemain Industri Tempatan
• Vendor sedia ada yang layak akan terus diberi peluang, dan pada masa yang sama, SEDCO Mining akan memastikan hanya pemain industri yang berkelayakan terlibat dalam sektor ini.
Pihak pengurusan SEDCO Mining meletakkan harapan yang tinggi kepada semua pihak yang terlibat, termasuk vendor, pengusaha, dan agensi kerajaan, untuk bekerjasama rapat dalam memastikan kelancaran operasi selepas migrasi ini. Dengan adanya integriti, ketelusan, dan komitmen yang berterusan akan dapat memastikan sumber pasir sungai di negeri ini diuruskan secara lestari dan mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Sabah.
Dalam majlis penyerahan data migrasi itu juga, pihak SEDCO Mining telah menyatakan penghargaan mereka di atas kepercayaan yang diberikan oleh SEDCO dan Kerajaan Negeri dalam meneraju pengurusan konsesi pasir di negeri Sabah. Semoga usaha ini akan membuahkan hasil yang positif dan menjana lebih ramai usahawan bumiputera dalam industri perlombongan.
Majlis penyerahan data ini telah disampaikan oleh Encik Robert Robin Millip, Jabatan Tanah dan Ukur, Bahagian Galian kepada Encik Shamsul Bahri Johari, CEO Sedco Mining Sdn. Bhd. disaksikan oleh YB Datuk Rubin Bin Balang, Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO) bersama, Datuk SR Bernard Liew Chau Min, Pengarah, Jabatan Tanah dan Ukur. Seterusnya cenderamata daripada SEDCO Mining Sdn. Bhd kepada YBhg. Datuk Sr Bernard Liew Chau Min, Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur Sabah, YBhg. Tuan Sernam Singh, Setiausaha Hasil Bumi, Pejabat Hasil Bumi, Puan Sabrina Salimi mewakili, Pengarah, Jabatan Perlindungan Alam Sekitar, Encik Robert Robin Millip, Ketua Penolong Pengarah (Bahagian Galian) Jabatan Tanah dan Ukur, En. Godffrey Ray James, Penolong Pemungut Hasil Tanah Tenom. Turut hadir YBhg. Datuk Ar. James Wong Kein Peng, Pengurus Besar Kumpulan SEDCO dan Encik Chua Ming Ling @ Alan, Timbalan Pengarah (Tanah), Jabatan Tanah dan Ukur dan kakitangan Bahagian Galian, Jabatan Tanah dan Ukur.