Datuk James Wong; Pengurus Besar Kumpulan SEDCO telah mengetuai lawatan kerja ke Cement Industries (Sabah) Sdn Bhd (CIS) di Sepanggar bersama Datin Sarinah Kamarudin; Pengurus Bahagian Pembangunan Strategik Kumpulan dan Encik Yahyah Sidek; Pengurus Pembangunan Perniagaan Kumpulan.
Ketibaan rombongan disambut oleh Tuan Haji Sumardi Mohd Yusof; Pengurus Besar CIS dan Tuan Haji Ir. Rajesh B. Datuk Yusof; Pengurus Kanan 1 (Operasi Loji). Turut hadir menyambut lawatan ialah pegawai-pegawai kanan CIS.
Lawatan ini diadakan bagi memperkukuhkan hubungan antara syarikat induk dan anak syarikat serta menilai prestasi operasi semasa dalam usaha memastikan pertumbuhan perniagaan yang mampan. Dalam sesi taklimat, Datuk James Wong menekankan keperluan untuk mengkaji semula struktur kos operasi termasuk kos pengeluaran, pembungkusan dan logistik bagi meningkatkan kecekapan dan daya saing. Beliau turut menegaskan kepentingan melaksanakan analisis pasaran untuk meneroka potensi pasaran luar negara.
CIS membentangkan prestasi terkini syarikat yang menunjukkan jualan melebihi sasaran sebanyak 4.3 peratus setakat Mac 2025. Margin Untung Kasar (GPM) meningkat kepada 15.1 peratus, manakala keuntungan sebelum cukai mencatatkan peningkatan sebanyak 69.1 peratus berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya. Sasaran CIS untuk tahun 2025 adalah mencapai jualan sebanyak 1.3 juta metrik tan dengan komitmen penuh terhadap pematuhan piawaian alam sekitar dan peningkatan kepuasan pelanggan.
Dalam sesi perbincangan strategik, cadangan membangunkan loji pengeluaran klinker bersepadu di Kudat turut diketengahkan. Cadangan ini mengambil kira potensi Pembangunan Taman Perindustrian Ekonomi Biru Kudat yang sedang diusahakan oleh SEDCO serta kelebihan sumber batu kapur yang dimiliki di kawasan berkenaan.
Pada masa yang sama, CIS turut membentangkan perkembangan projek pembinaan loji klinker di Tongod yang sedang diusahakan. Antara cabaran utama yang dikenal pasti ialah faktor logistik dan infrastruktur, yang memerlukan penyelesaian jangka panjang bagi memastikan kejayaan operasi pada masa hadapan.
Lawatan ini memperlihatkan komitmen berterusan SEDCO dalam memperkukuhkan hubungan korporat dengan anak-anak syarikat serta menyumbang secara aktif ke arah pembangunan ekonomi negeri Sabah secara mampan dan berdaya saing.
#BerkhidmatDemiKemajuan#ServingForProgress#SEDCO#CIS#SustainableGrowth