Wisma SEDCO, 21 Mac 2025 – SEDCO meneruskan tradisi mulia program Rantaian Kasih Ramadan dengan menganjurkan Majlis Khatam Al-Quran di Surau SEDCO, Tingkat 2, diikuti dengan Majlis Berbuka Puasa di Bilik Serba Guna SEDCO.
Tujuan utama penganjuran majlis ini adalah untuk memperkukuhkan jalinan ukhuwah antara pegawai dan keluarga, serta meningkatkan penghayatan terhadap kitab suci Al-Quran dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini.
Majlis dimulakan dengan sesi Tadarus dan Khatam Al-Quran yang dipimpin oleh Ustax Agus Latif. Ini disusuli dengan ceramah mengupas inti pati Ramadan dan keutamaannya, yang disampaikan oleh Encik Mohd Ridzuan bin Kaplin.
Dalam semangat Ramadan yang mulia ini, SEDCO melalui Kelab Rekreasi Sosial SEDCO (KReSS) dan Badan Islam Kumpulan SEDCO (BIKS) mengambil kesempatan untuk melaksanakan program SEDCO Prihatin.
Program ini menyalurkan sumbangan kepada anak-anak asnaf dari As Sakinah, Papar, serta surau-surau terpilih iaitu Surau Al-Janah Taman Sepanggar, Surau SEDCO dan Surau Kg. Bunut, Tenom. Selain itu, sumbangan juga disalurkan kepada Majlis Tindakan Pengguna Negara, yang akan diagihkan kepada 10 pelajar kurang berkemampuan untuk membantu dalam urusan pembelajaran mereka.
Penyerahan sumbangan disempurnakan oleh YBhg. Datuk Ar. James Wong Kein Peng, Pengurus Besar Kumpulan SEDCO, bersama Tuan Haji Azrul bin Haji Ahmad, Timbalan Pengurus Besar Kumpulan SEDCO. Majlis ini turut diserikan dengan kehadiran Ketua-Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SEDCO.
Alhamdulillah, majlis yang berlangsung dengan lancar dan penuh keberkatan ini diakhiri dengan solat Isyak dan Tarawih berjemaah.